GAMBAR hiasan. FOTO Azhar Ramli
GAMBAR hiasan. FOTO Azhar Ramli
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 10 pesakit Covid-19 membabitkan Kluster Telaga 2 yang berpunca dari Wad Nefrologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, didapati meninggal dunia sejak 4 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, sehingga semalam, seramai 93 individu positif membabitkan kluster berkenaan.

"Pada mulanya, seorang pesakit buah pinggang di Wad Nefrologi HSB disahkan positif Covid-19 melalui saringan sebelum menjalani satu prosedur pada 4 Ogos 2021.

"Berikutan itu, siasatan dan saringan kontak rapat dilakukan terhadap pesakit lain dan peneman, petugas kesihatan serta petugas sokongan hospital di wad sama termasuk waris pesakit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Othman berkata, hasil saringan kemudian mendapati 73 kes positif Covid-19 iaitu 32 kes pesakit Wad Nefrologi, 23 kes petugas kesihatan, empat kes pekerja sokongan hospital dan 14 kes waris pesakit.

Katanya, dalam kalangan pesakit Wad Nefrologi yang positif, didapati 11 kes tidak bergejala (kategori satu), dua kes bergejala ringan (kategori dua) dan satu kes kategori tiga.

"Selain itu, 15 kes di wad berkenaan didapati dalam kategori empat dan tiga kes dalam kategori lima.

"Dukacita dimaklumkan terdapat 10 kes meninggal dunia, manakala 22 kes lagi masih berada di wad. Siasatan lanjut berkaitan dengan kematian berkenaan sedang dijalankan," katanya.

Menurutnya, setakat ini belum ada dalam kalangan kontrak petugas kesihatan, perkhidmatan sokongan dan keluarga yang dimasukkan ke wad kecuali seorang petugas kesihatan dalam kategori satu kerana mengandung dan kini dalam keadaan stabil.

Katanya, siasatan dan saringan terhadap kontak selanjutnya mengesan 21 lagi kes positif di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik dan Yan.

"Sehingga semalam, jumlah kes dalam kluster ini adalah seramai 93 orang.

"Bagi membendung jangkitan Covid-19 di HSB, beberapa tindakan segera diambil termasuk penutupan Wad Nefrologi sebaik kes pertama disahkan positif dan kemasukan pesakit baru ke wad itu dihentikan," katanya.

Beliau berkata, semua pesakit dipindahkan ke wad Covid-19 secara berperingkat dan wad akan dibuka semula selepas disanitasi.

Katanya, perkhidmatan hemodialisis pesakit luar di Hospital Alor Setar berjalan seperti biasa.

"Perkhidmatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) pula dipindah ke ruang lain iaitu di Diabetic Resource Center.

"Pesakit nefrologi baharu bukan Covid-19 dimasukkan ke wad bukan Covid-19 lain. Tiada wad atau perkhidmatan lain ditutup berkaitan dengan kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:27 PM