Baharom Bakar


Marang: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengunjungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kampung Rusila, di sini, hari ini.

Muhyiddin tiba di kediaman Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, kira-kira jam 5 petang.

Ketibaan Muhyiddin disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Turut mengiringi Muhyiddin adalah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri, Senator Datuk Razali Idris.

Sejurus tiba, kelihatan hanya Muhyiddin dan Hamzah serta Ahmad Samsuri memasuki kediaman Abdul Hadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Muhyiddin, Hamzah dan Ahmad Samsuri, selepas mengadakan pertemuan kira-kira satu jam.

Sebaik keluar dari rumah, Abdul Hadi dan Muhyiddin hanya sempat melambaikan tangan kepada media sebelum menaiki kenderaan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 6.10 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:47 PM
TAN Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) diiringi Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berangkat pulang selepas mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediamannya, Kampung Rusila. FOTO Ghazali Kori
TAN Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) diiringi Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berangkat pulang selepas mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediamannya, Kampung Rusila. FOTO Ghazali Kori