ABDUL Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
ABDUL Hadi Awang. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


PAS akan memperkasakan hubungan kerjasama antara parti termasuk UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan parti dalam Pakatan Nasional (PN) akan diteruskan.

Jelasnya, PAS tiada masalah untuk meneruskan kerjasama dengan parti dalam PN termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Keputusan MN mempelawa Bersatu untuk menyertai pakatan itu bukanlah perkara yang mengejutkan.

"Tetapi keputusan sama ada Bersatu menerima atau sebaliknya pelawaan itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti," katanya ketika ditemui selepas selesai mengimamkan solat sunat Aidiladha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa yang membuat pelawaan kepada Bersatu untuk menyertai pakatan itu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu sudah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.

Abdul Hadi mengulangi pendirian bahawa PAS akan terus bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu.

Ketika diminta mengulas pergolakan di Sabah, Abdul Hadi menjelaskan, krisis politik yang berlaku di Sabah bukannya perkara baru kerana negeri itu pernah mengadakan pilihan raya berasingan.

"Saya meminta kemelut politik yang sedang berlaku di Sabah diselesaikan mengikut perlembagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 11:06 AM