MOHD Taufik (kanan) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penoreh getah di Kampung Dalam Wang, Baling, semalam. FOTO Safuri Kamarudin
MOHD Taufik (kanan) menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penoreh getah di Kampung Dalam Wang, Baling, semalam. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


LEBIH 100 keluarga penoreh getah di Baling bersyukur selepas menerima sumbangan makanan bagi meringankan beban ketika musim tengkujuh dan kejatuhan harga getah.

Mereka mendakwa tidak keluar menoreh kerana musim hujan selain kejatuhan harga getah sekali gus punca pendapatan turut terjejas.

Penerima bantuan Mohd Sazli Ibrahim, 47, dari Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, berkata kehidupan keluarganya terjejas sejak dua bulan kebelakangan ini kerana tidak dapat menoreh getah.

Menurutnya, kehidupan mereka bergantung dengan menoreh, dan turut terkesan apabila kejatuhan harga getah sehingga RM2 sekilogram.

“Dengan kos barangan keperluan turut naik menyebabkan rata-rata penoreh merasai beban itu terutama keluarga yang mempunyai ramai anak dan masih bersekolah.

“Hampir 90 peratus penduduk di kampung ini bekerja menoreh getah sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga,” katanya selepas menerima sumbangan barangan makanan di Kampung Baru Dalam Wang, Baling, semalam.

Barangan makanan itu disumbangkan oleh Penyelaras Parlimen Baling Mohd Taufik Yaacob bagi meringankan beban penoreh.

Sementara itu, Mohd Taufik berkata, dia menyedari kehidupan penoreh getah terjejas akibat tidak dapat keluar menoreh kerana musim hujan selain kejatuhan harga getah di pasaran.

“Justeru, saya berusaha meringankan beban hidup mereka dengan menyalurkan bantuan makanan.

“Ada antara keluarga penoreh getah ini terpaksa membeli beras secara timbang kerana tidak mampu selain membeli ikan masin untuk sajian keluarga.

“Kita bersimpati nasib yang dialami penoreh getah dan berusaha membantu bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Mohd Taufik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Dan Penoreh Getah (PERGETAH) Kedah berkata, dia akan memanjangkan masalah penoreh getah kepada kerajaan supaya ada tabung dana khas untuk membantu mereka ketika musim tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 9:11 AM