GAMBAR kenangan Muhammad Zakwan dan tiga adiknya bersama arwah bapa mereka, Jalil Moin.FOTO Ihsan Muhammad Zakwan Jalil
GAMBAR kenangan Muhammad Zakwan dan tiga adiknya bersama arwah bapa mereka, Jalil Moin.FOTO Ihsan Muhammad Zakwan Jalil
Redzuan Muharam

Melaka: Sembilan tahun lalu, Muhammad Zakwan Jalil kehilangan ibu tercinta, Azian Abdul Hamid yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pada 30 Julai lalu, bapanya, Jalil Moin, 50, pula dijemput Ilahi kerana jangkitan Covid-19.

Sejak itu, Muhammad Zakwan, 21, tiada pilihan kecuali menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sekali gus menjaga tiga adiknya iaitu Nurin Jazlina, 18; Muhammad Afiq Danish,14, dan Muhammad Darwisy Hakimy,10.

Bercerita lanjut, Muhammad Zakwan yang menetap di Taman Desa Molek, di sini berkata, bapanya disahkan positif Covid-19 pada 26 Julai lalu dan meninggal dunia ketika menjalani tempoh kuarantin di rumah.

"Arwah ayah diminta menjalani kuarantin di rumah kerana tidak mengalami sesak nafas.

"Selama empat hari di rumah, arwah ayah tidak menunjukkan simptom atau gejala yang serius.

"Selepas Subuh pada 30 Julai, saya masuk ke bilik arwah untuk melihat keadaannya sebelum mendapati dia sudah tidak bernyawa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Zakwan berkata, jenazah bapanya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kandang, di sini pada 2 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi.

Biarpun sudah sebulan berlalu, dia dan adik beradik masih terkesan dengan pemergian bapanya kerana tidak dapat menatap dan menguruskan jenazah buat kali terakhir berikutan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Muhammad Zakwan, bapanya mencari rezeki untuk menyara keluarga selama ini tetapi kini dia dan adik beradiknya menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai anak yatim piatu.

PRESIDEN Si Peduli Hanapi Muda (kanan) menziarahi Muhammad Zakwan dan tiga adiknya  untuk menyampaikan sumbangan. FOTO Ihsan Muhammad Zakwan Jalil
PRESIDEN Si Peduli Hanapi Muda (kanan) menziarahi Muhammad Zakwan dan tiga adiknya untuk menyampaikan sumbangan. FOTO Ihsan Muhammad Zakwan Jalil

"Arwah ayah sebelum ini menyara kami dengan mengambil upah dalam kerja pendawaian.

"Saya ada bekerja sebagai ejen produk tetapi secara sambilan saja kerana masih menuntut di Politeknik Mersing dalam pengajian Diploma Teknologi Maklumat.

"Kini, saya perlu memikirkan cara untuk menjana lebih pendapatan walaupun sudah mendapat kelulusan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ada dua adik yang masih bersekolah," katanya yang menjalani latihan industri di Politeknik Kota, Melaka pada Oktober depan.

Nasib Muhammad Zakwan dan tiga adiknya sebelum ini mendapat perhatian sukarelawann Pertubuhan Peduli Ummah (Si Peduli) yang datang menziarah dan menyampaikan sumbangan.

Sumbangan disampaikan Presiden Si Peduli, Hanapi Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 12:55 PM