Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Nelayan di enam lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, diingatkan supaya tidak mencuri keluar untuk menangkap ikan di laut.

Enam lokaliti berkenaan adalah Taman Seri Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Ladang Kong Heap Lee, Kampung Tengah, Flat Taman Desa Pangkor dan Taman Desa Pangkor.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dua bot Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan rondaan secara berkala di sepanjang perairan Pangkor.

Menurutnya, sebarang aktiviti atau pergerakan keluar dan masuk ke enam lokaliti berkenaan tidak dibenarkan bermula semalam hingga 21 Ogos ini.

"Pelaksanaan PKPD di enam lokaliti membabitkan 780 rumah dengan 2,252 penduduk yang mana 70 peratus daripada mereka adalah nelayan.

"Kita juga meminta bantuan daripada PPM untuk melakukan rondaan secara berkala di laut bagi mengelak jika ada penduduk cuba keluar atau menangkap ikan dan kita juga membuat hebahan mengenainya," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di kawasan berkenaan, hari ini.

Nor Omar berkata, pihaknya sedar pelaksanaan PKPD memberi kesan kepada penduduk kerana tidak dapat keluar ke laut tetapi mereka diminta bersabar dan memberi kerjasama dalam tempoh ini bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Bantuan juga akan disalurkan kepada penduduk oleh pihak bertanggungjawab dan setakat hari ini tahap pematuhan penduduk adalah baik. Kita juga percaya penduduk akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, seramai 63 anggota membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan bertugas sepanjang PKPD berlangsung.

"Kita juga sudah mengenal pasti 16 laluan tikus di semua lokaliti berkenaan dengan tujuh kawasan dipasang kawad duri, manakala sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di laluan utama iaitu di Jalan Haji Hussien," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:30 PM