SUSPEK ditahan polis selepas menikam seorang lelaki. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK ditahan polis selepas menikam seorang lelaki. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang lelaki cedera di belakang badan akibat ditikam dua kali dalam kejadian yang berlaku di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Bukit Malut di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun sedang membonceng motosikal bersama rakannya.

Katanya, ketika dalam perjalanan, secara tiba-tiba suspek lelaki berusia 27 tahun membaling kayu ke arah mangsa.

"Terkejut dengan kejadian itu, rakan mangsa memberhentikan motosikal dan suspek menuju ke arah mangsa lalu menikam belakang badan mangsa dengan pisau dua kali.

"Suspek kemudian melarikan diri, bagaimanapun dia ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, susulan itu polis merampas sebatang kayu dan sebilah pisau dapur yang dipercayai digunakan oleh suspek.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk menerima rawatan.

"Suspek yang juga penduduk kampung berkenaan ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

PKPD dilaksanakan di Kampung Bukit Malut selama 14 hari mulai 27 Julai lalu sepatutnya berakhir hari ini, bagaimanapun ia dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 23 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:21 PM