SUSPEK yang ditahan dipercayai terbabit dalam kes samun kedai runcit di Jalan Bohor Tempoyak, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK yang ditahan dipercayai terbabit dalam kes samun kedai runcit di Jalan Bohor Tempoyak, Langkawi. FOTO Ihsan Polis.
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun menggunakan pisau pemotong sayur di kedai runcit di Jalan Bohor Tempoyak di sini, 17 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Taman Sri Ayu di sini, pada 5 petang, semalam.

"Suspek tidak bekerja, pernah berkahwin dan mempunyai dua rekod lampau ditahan sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Susulan itu polis merampas motosikal, topi keledar, baju, pisau, seluar dan kunci motosikal dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kegiatan samun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, tangkapan itu turut menyelesaikan dua kes samun bersenjata membabitkan dua kedai lain di sekitar Kampung Ulu Melaka.

"Suspek direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada 17 Jun lalu, media melaporkan suspek yang bersenjata pisau pemotong sayur mengugut pekerja wanita yang berada di kaunter bayaran dalam kejadian samun di kedai runcit di Jalan Bohor Tempoyak.

Berita berkaitan:

  • Penyamun guna pisau pemotong sayur diburu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:59 PM