Amir Mamat


Ayer Keroh: Pusat pemberian vaksin (PPV) hanya akan beroperasi tujuh hari seminggu jika terdapat keperluan yang mendesak, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, setakat ini, semua PPV sedia ada mampu untuk menampung pemberian vaksin kepada masyarakat dengan hanya beroperasi enam hari seminggu.

"PPV setakat ini akan beroperasi enam hari sebab cukup dengan kapasiti sedia ada. Jadi, bukan kita tidak mahu kerja tujuh hari seminggu, tetapi dengan bekalan dan kapasiti yang ada, ia cukup untuk pusat berkenaan beroperasi enam hari.

"Tetapi kalau diperlukan (beroperasi), kita akan buka tujuh hari (seminggu)," katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), meminta semua PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya bersetuju menambah beberapa PPV lagi di Melaka mulai bulan depan membabitkan PPV awam di Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ), Peringgit serta PPV pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

KHAIRY (kanan) dan Sulaiman ketika sidang media selepas Mesyuarat CITF Negeri. FOTO Syafeeq Ahmad.
KHAIRY (kanan) dan Sulaiman ketika sidang media selepas Mesyuarat CITF Negeri. FOTO Syafeeq Ahmad.

Katanya, pihaknya turut bersetuju meluluskan pembukaan PPV baharu yang berkapasiti 1,000 suntikan setiap hari di Encore, Kota Laksamana di sini, selain tiga lagi PPV di hospital swasta iaitu Hospital Pantai Ayer Keroh, Pusat Perubatan Mahkota serta Pusat Pakar Mata Southern di Bandaraya Melaka.

Turut akan dibuka di Melaka adalah 36 PPV General Practitioner (PPVGP) di klinik kesihatan tambahan di negeri itu.

"Langkah terbabit akan meningkatkan pemberian vaksin kepada 13,000 dos setiap hari secara berperingkat berbanding 7,000 dos ketika ini, termasuk di PPV kawasan industri yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Saya juga sudah memaklumkan kepada Ketua Menteri setakat ini kita sudah menghantar sebanyak 200,000 dos vaksin kepada Melaka sejak Februari lalu dan jumlah itu akan bertambah kepada 368,000 dos pada bulan depan.

"Justeru, saya jangka Melaka dapat menyelesaikan program vaksinasi kepada semua rakyat negeri ini selewat-lewatnya November depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 5:58 PM