Mohd Amin Jalil

Seremban: Hati siapa tidak luluh jika dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya hanya dalam tempoh dua minggu akibat jangkitan virus Covid-19.

Itu detik perit terpaksa dilalui Shahrizal Abd Manaf, 48, apabila isterinya, Norhaliza Hussin, 48, meninggal dunia pada 14 Julai lalu di Hospital Tampin di sini.

Ia kemudian diikuti pemergian ibu mentuanya, Rahmah Abd Ghaffar, 78, yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Permatang Pasir Linggi Port Dickson, akibat wabak sama pada 30 Julai lalu.

Shahrizal berkata, dia bersama dua anaknya berusia 17 dan 23 tahun selain enam ahli keluarga anak saudaranya yang menetap di Senawang turut disahkan positif selepas melakukan ujian saringan Covid-19.

Ketika ditemui, Shahrizal yang juga bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, dia tidak menyangka kebahagiaan dikecapi bersama isteri dan ibu mentua yang tinggal bersama diragut sekeli mata.

"Pada mulanya isteri hanya mengalami beberapa simptom kecil seperti batuk sebelum disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan di Klinik Kesihatan Senawang pada 2 Julai lalu.

"Dia kemudian menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Politeknik Port Dickson.

"Selepas dua hari di PKRC itu, arwah isteri kemudian dipindahkan ke Hospital Tampin selepas kesihatannya kian merosot.

Shahrizal menunjukkan gambar arwah isteri Norhaliza Hussin dengan ahli keluarganya ketika ditemui di rumahnya di Senawang, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Shahrizal menunjukkan gambar arwah isteri Norhaliza Hussin dengan ahli keluarganya ketika ditemui di rumahnya di Senawang, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil

"Pada 12 Julai dia diberikan alat bantuan pernafasan, namun meninggal dunia pada 14 Julai lalu iaitu selepas 10 hari bertarung nyawa akibat Covid-19," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Pagi Senawang, di sini, semalam.

Dia bagaimanapun tidak menyangka ibu mentua juga turut dipanggil Illahi akibat Covid-19 berselang dua minggu selepas isterinya meninggal dunia.

Shahrizal tidak dapat menahan sebak apabila tidak dapat menatap wajah kedua-dua insan itu pada hari pengebumian kerana diarah berada dalam jarak kira-kira 20 meter bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, kepiluan itu terus dirasakan hingga kini apabila dua hajatnya iaitu membawa arwah isteri menunaikan haji tidak kesampaian.

"Kami juga sudah berhajat untuk mengahwinkan anak sulung dalam masa terdekat.

"Malah keinginan arwah untuk menyaksikan anak bongsu yang kini bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia di Terengganu bagi mewakili negara dalam sukan sepak takraw juga tidak kesampaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:06 PM