GAMBAR kenangan Allahyarham Rahmat dan ibunya, Allahyarhamah Hatifah. FOTO Ihsan Norhayati Abdul Razak.
GAMBAR kenangan Allahyarham Rahmat dan ibunya, Allahyarhamah Hatifah. FOTO Ihsan Norhayati Abdul Razak.
Mohd Amin Jalil


Rembau: Hati siapa yang tidak luluh jika dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tidak sampai sebulan dengan seorang daripadanya akibat jangkitan virus Covid-19.

Itu saat getir yang terpaksa dilalui seorang penjawat awam, Norhayati Abdul Razak, 40, bersama tujuh lagi adik beradiknya yang lain.

Abang sulungnya, Rahmat Abdul Razak, 54, meninggal dunia pada 2 Jun lalu di rumah ibu bapa mereka, di Kampung Ulu Lalang Rantau, dekat sini kerana serangan jantung disusuli ibu tercinta, Hatifah Ibrahim, 69, pada 27 Jun lalu di Hospital Tampin, akibat Covid-19.

Ketika dihubungi, Norhayati berkata, dia tidak menyangka kehilangan orang tersayang dalam tempoh yang singkat.

"Along adalah tonggak utama kami sekeluarga dan ketika hayatnya dialah pemimpin keluarga dan tempat mengadu segala permasalahan keluarga.

"Selepas 26 hari along pergi meninggalkan kami, ibu pula turut dijemput Ilahi," katanya hari ini.

Bercerita lanjut, Norhayati berkata, Rahmat meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat Asar, kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, arwah terjatuh dan terhantuk pada almari ketika balik ke rumah keluarga untuk melawat ayah yang sedang sakit.

"Kakitangan hospital yang datang membuat pemeriksaan kesihatan ayah mengesahkan abang sudah meninggal dunia.

"Abang meninggalkan tiga isteri serta 12 anak berusia antara dua hingga 33 tahun serta 15 cucu," katanya.

Norhayati berkata, ibunya pula disahkan positif Covid-19 pada 14 Jun ketika dibawa ke Hospital Salam Senawang, dekat sini, selepas mengadu rasa letih dan sesak nafas selain muntah.

Menurutnya, ibunya mempunyai masalah penyakit kencing manis dan darah tinggi kemudian dipindahkan ke Hospital Tampin pada 15 Jun, dan keadaannya stabil walaupun tahap oksigen dalam badan agak rendah.

Menurutnya, selepas sembilan hari dirawat kesihatan ibunya mula tidak stabil dan doktor memaklumkan kemungkinan dia akan ditidurkan.

"Ibu kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiga hari kemudian doktor memaklumkan tahap kesihatannya semakin merosot dan meminta semua adik beradik supaya bersabar serta menerima segala ketentuanNya.

"Pada jam 12.29 tengah malam 27 Jun lalu kami menerima panggilan daripada doktor memaklumkan ibu sudah meninggal dunia," katanya.

Norhayati berkata, ketika ini bapanya, Abdul Razak Ismail, 79, sedang terlantar di rumah kerana penyakit angin ahmar yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

"Ketika ini bapa hanya bergantung kepada minum susu melalu tiub dan kami adik beradik menjaganya dengan rapi," katanya.

Ditanya mengenai punca jangkitan Covid-19 boleh berlaku pada ibunya itu, Norhayati berkata, dia sendiri kurang pasti puncanya namun terdapat dua ahlinya keluarganya yang mendapat simptom wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:30 PM