FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan membendung pandemik Covid-19 seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi implikasi negatif kepada paras gaji dan upah di Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja di Malaysia merekodkan penurunan sebanyak sembilan peratus kepada RM2,933 berbanding RM3,224.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan kepada penurunan yang dicatatkan oleh semua negeri pada 2020 dengan Johor mencatatkan penyusutan tertinggi sebanyak 13 peratus, Terengganu (-12.4 peratus), Kuala Lumpur (-12.3 peratus), Labuan (-11.5 peratus), Sarawak (-11 peratus) dan Selangor (-10.6 peratus).

Bagaimanapun, katanya, di sebalik penurunan itu, masih terdapat beberapa negeri mencatatkan purata gaji dan upah yang lebih tinggi berbanding paras purata nasional.

Katanya, Putrajaya adalah negeri yang merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM4,497 diikuti Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).

"Implikasi itu turut memberi kesan kepada purata gaji dan upah bulanan bagi siswazah bekerja, yang menyaksikan penurunan 10.6 peratus.

"Lima negeri merekodkan kejatuhan lebih ketara bagi konteks gaji dan upah bulanan siswazah iaitu Sabah (-19.1 peratus), Kuala Lumpur (-14.4 peratus), Sarawak (-13.1 peratus), Terengganu (-11.8 peratus) dan Selangor (-11.2 peratus).

"Walaupun Kuala Lumpur mencatatkan penurunan, tetapi ia masih menjadi negeri yang memberikan purata gaji dan upah siswazah bulanan tertinggi pada RM5,443 diikuti Putrajaya (RM5,365) sebulan, Selangor (RM4,772) dan Negeri Sembilan (RM4,496).

"Manakala, purata lebih rendah direkodkan di Sabah (RM3,900) dan Kedah (RM3,729)," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Laporan Sosioekonomi Negeri 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Laporan Sosioekonomi adalah penerbitan komprehensif dan eksklusif bagi 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan dengan mengintegrasikan statistik ekonomi dan sosial demografi.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, peningkatan kadar pengangguran juga dipengaruhi pelaksanaan pemberhentian pekerja oleh organisasi perniagaan yang terjejas bagi mengekalkan kelangsungan pengoperasian.

Beliau berkata, kadar pengangguran negara meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, iaitu tertinggi dicatatkan setelah hampir tiga dekad.

"Semua negeri merekodkan peningkatan dalam kadar pengangguran dengan didahului oleh Sabah (8.0 peratus), Labuan (7.2 peratus) dan Perak (4.8 peratus).

"Putrajaya (1.5 peratus), Melaka (2.2 peratus) dan Pahang (3.1 peratus) pula merekodkan kadar pengangguran yang rendah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, penyusutan purata gaji dan upah bulanan serta kadar pengangguran juga berkait dengan kejatuhan industri seperti pelancongan.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai fasa PKP yang turut membataskan aktiviti rentas negeri serta penutupan sempadan antarabangsa merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, katanya, industri berasaskan pelancongan adalah yang paling jelas menerima impak daripada pelaksanaan PKP ini seperti aktiviti perhotelan, makanan dan minuman dan pengangkutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:40 PM