Dr Mohd Uzir
Dr Mohd Uzir

Oleh Alzahrin Alias

[email protected]

Kuala Lumpur: Gaji dan upah bulanan pekerja di negara ini akan kembali meningkat seiring dengan pemulihan ekonomi pascapandemik Covid-19, demikian menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, apabila ekonomi dibuka semula, semakin banyak perniagaan akan kembali melonjak, sekali gus mengukuhkan lagi permintaan dalam pasaran buruh.

"Namun, peningkatan ini masih bergantung kepada bagaimana corak pemulihan ekonomi negara ini berlaku. Ada sektor ekonomi yang akan pulih secara mendadak dan ada juga yang memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Setiap sub sektor itu mempunyai karakter tersendiri yang akan mempengaruhi pendapatan sektor serta kadar gaji dan upah. Secara jangka pendek, kita perlu tumpu kepada pemulihan sektor ekonomi," katanya pada taklimat media mengenai Laporan Sosioekonomi Negeri 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), semalam.

Laporan Sosioekonomi adalah penerbitan komprehensif dan eksklusif bagi 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan dengan mengintegrasikan statistik ekonomi dan sosial demografi.

Langkah kerajaan membendung pandemik Covid-19 seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi implikasi negatif kepada paras gaji dan upah di Malaysia.

Dr Mohd Uzir berkata, purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja di Malaysia merekodkan penurunan sebanyak sembilan peratus kepada RM2,933 berbanding RM3,224.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan kepada penurunan yang dicatatkan oleh semua negeri pada 2020 dengan Johor mencatatkan penyusutan tertinggi sebanyak 13 peratus, Terengganu (-12.4 peratus), Kuala Lumpur (-12.3 peratus), Labuan (-11.5 peratus), Sarawak (-11 peratus) dan Selangor (-10.6 peratus).

Bagaimanapun, katanya, di sebalik penurunan itu, masih terdapat beberapa negeri mencatatkan purata gaji dan upah yang lebih tinggi berbanding paras purata nasional.

Katanya, Putrajaya adalah negeri yang merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM4,497 diikuti Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).

"Implikasi itu turut memberi kesan kepada purata gaji dan upah bulanan bagi siswazah bekerja yang menyaksikan penurunan 10.6 peratus.

"Lima negeri merekodkan kejatuhan lebih ketara bagi konteks gaji dan upah bulanan siswazah iaitu Sabah (-19.1 peratus), Kuala Lumpur (-14.4 peratus), Sarawak (-13.1 peratus), Terengganu (-11.8 peratus) dan Selangor (-11.2 peratus).

"Walaupun Kuala Lumpur mencatatkan penurunan, tetapi ia masih menjadi negeri yang memberikan purata gaji dan upah siswazah bulanan tertinggi pada RM5,443 diikuti Putrajaya (RM5,365) sebulan, Selangor (RM4,772) dan Negeri Sembilan (RM4,496).

"Manakala purata lebih rendah direkodkan di Sabah (RM3,900) dan Kedah (RM3,729)," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Uzir berkata, peningkatan kadar pengangguran juga dipengaruhi pemberhentian pekerja oleh organisasi perniagaan yang terjejas bagi mengekalkan kelangsungan pengoperasian.

Beliau berkata, kadar pengangguran negara meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, iaitu tertinggi dicatatkan setelah hampir tiga dekad.

"Semua negeri merekodkan peningkatan dalam kadar pengangguran dengan didahului oleh Sabah (8.0 peratus), Labuan (7.2 peratus) dan Perak (4.8 peratus).

"Putrajaya (1.5 peratus), Melaka (2.2 peratus) dan Pahang (3.1 peratus) pula merekodkan kadar pengangguran yang rendah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, penyusutan purata gaji dan upah bulanan serta kadar pengangguran juga berkait dengan kejatuhan industri seperti pelancongan.

Katanya, dalam jangka masa panjang, kadar purata gaji dan upah di Malaysia akan terus meningkat jika semua pihak mula beralih kepada ekonomi digital dan penggunaan teknologi dalam perniagaan.

Beliau berkata, ia akan memberikan satu implikasi positif kepada kadar gaji dan upah, namun ia bergantung kepada sejauh mana ketersediaan peralihan ke arah ekonomi digital ini direalisasikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 7:00 AM