PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki hampir reput dan berulat di kebun kelapa sawit, di Kemuning. FOTO Ihsan pembaca
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki hampir reput dan berulat di kebun kelapa sawit, di Kemuning. FOTO Ihsan pembaca
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Mayat tanpa identiti dalam keadaan berulat dan hampir reput dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam timbunan semak berhampiran kebun kelapan sawit, di Kemuning, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, mayat itu ditemui kira-kira 10 pagi, susulan maklumat daripada orang awam yang terhidu bau busuk di kawasan terbabit sebelum menghubungi Balai Polis Pulau Sebang.

Beliau berkata, pasukan polis yang ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kemudian menemui satu mayat dipercayai lelaki tanpa identiti dengan memakai seluar jeans dalam keadaan berulat dan hampir reput berada dalam timbunan semak-samun.

"Siasatan lanjut dijalankan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri atau objek lain bersabit dengan kejadian itu.

"Malah pada mulanya kes ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) namun hasil daripada bedah siasat dijalankan mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan di bahagian badan serta kepala.

"Selain pemeriksaan pada mayat juga menjumpai beberapa kesan luka tajam pada leher malah menurut pakar si mati mengalami kecederaan parah akibat daripada objek tajam," katanya.

Menurutnya, meskipun terdapat satu laporan polis dibuat membabitkan kehilangan seorang lelaki tempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan namun identiti mangsa belum dapat disahkan.

"Sehingga kini polis belum dapat mengesahkan identiti sebenar mangsa dan masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ahli keluarga lelaki yang dilaporkan hilang itu.

"Selain itu ahli keluarga terbabit tidak dapat mengenal pasti mangsa berdasarkan pengecaman yang dibuat kerana keadaan mayat yang hampir reput," katanya.

Zainol berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selain orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan terus kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 7:27 PM