ANGGOTA polis memeriksa mayat tanpa identiti yang dijumpai di loji pengolahan kumbahan di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Tok Hakim, Kota Bharu. Foto NSTP/ZAMAN HURI ISA
ANGGOTA polis memeriksa mayat tanpa identiti yang dijumpai di loji pengolahan kumbahan di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Tok Hakim, Kota Bharu. Foto NSTP/ZAMAN HURI ISA
Rosliza Mohamed


MISTERI bau busuk di loji pengolahan kumbahan di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, terjawab dengan penemuan mayat yang sudah berulat, hari ini.

Dianggarkan, mayat lelaki tanpa identiti serta berpakaian lengkap itu, sudah seminggu berada di kawasan berkenaan.

Pekerja selenggara TNB, Nik Sufian Nik Abdullah, 34, berkata, sebelum itu penyelianya memaklumkan ada bau busuk di kawasan itu dan menyuruhnya supaya melihat di kawasan sekeliling pada 10.15 pagi, hari ini.

"Ketika meninjau kawasan itu saya ternampak mayat seorang lelaki berpakaian lengkap dan berulat ditemui dalam keadaan terlentang.

"Saya kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan TNB serta pihak polis," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia tidak mengetahui perkara sebenar mengenai identiti lelaki itu dan pihak polis kini menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat di lokasi berkenaan.

Katanya, mayat mangsa belum dikenal pasti identitinya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat.

"Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu, selain turut menemui wang tunai RM14 dalam poket seluar mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:57 PM