Omar Ahmad


Pontian: Majlis Daerah Pontian (MDP) kini diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, penaiktarafan itu adalah selari dengan hasrat kerajaan Johor yang menitikberatkan rancangan pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Menurutnya, dengan naik taraf itu, perkhidmatan kepada masyarakat juga dapat dipertingkatkan dan perancangan pembangunan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh.

"Pada hari ini, kita menyaksikan hari bersejarah bagi daerah Pontian apabila Majlis Daerah Pontian (MDP) diisytiharkan sebagai MPPn.

"Dengan naik taraf ini, ia dapat tingkatkan hasil majlis, dalam waktu sama kemudahan asas dapat ditambah baik dan ditingkatkan," katanya selepas menyempurnakan sumbangan Bakul Prihatin MPPn sempena pengisytiharaan MPPn, di ruang legar MPPn, Pontian di sini hari ini.

DATUK Hasni Mohammad menandatangani plak sempena selepas menyempurnakan sumbangan Bakul MPPn sempena pengisytiharaan MPPn, di ruang legar MPPn, Pontian di sini hari ini. FOTO Omar Ahmad
DATUK Hasni Mohammad menandatangani plak sempena selepas menyempurnakan sumbangan Bakul MPPn sempena pengisytiharaan MPPn, di ruang legar MPPn, Pontian di sini hari ini. FOTO Omar Ahmad

Jelas Hasni, bersempena dengan pengisytiharan itu juga, peruntukan sebanyak RM 1 juta disediakan bagi program Bakul Prihatin Majlis Perbandaran Pontian.

"Ia sebagai penghargaan kepada pembayar cukai dalam membantu masyarakat Pontian yang tentunya terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 8:06 PM