S Rajasegram
S Rajasegram
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Daerah Pontian (MDP) serta kontraktor yang diberi kepercayaan membina Padang Hoki MDP di Taman Megah harus bertanggungjawab membaiki semula padang yang sudah rosak sejak tiga tahun itu.

Pengerusi Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Johor, S Rajasegram berkata, pihaknya sebenarnya sudah menerima aduan sama daripada komuniti hoki di Pontian pada 2018.

"Ketika itu tahap kerosakan padang berkenaan tidaklah seteruk seperti sekarang. Sebab itulah ketika itu juga saya menggesa supaya ia dibaiki semula.

"Saya dapat bertemu dengan YDP (Yang Dipertua) MDP ketika itu dan dia memberitahu perlu mengadakan perbincangan bersama kontraktor semula untuk membaiki padang itu.

"Sekarang selepas hampir tiga tahun, tiada sebarang perubahan malah tahap kerosakan padang itu semakin teruk. Atas faktor itulah saya menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab segera membaiki semula padang itu," katanya.

Jelas Rajasegram, beliau bersetuju dengan pandangan komuniti hoki di Pontian bahawa pembinaan padang berkenaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

"Jika benar ia mengikuti spesifikasi FIH, tidak mungkin akan menjadi situasi seperti sekarang," katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan komuniti hoki di Pontian tetap mempertahankan pendirian bahawa pembinaan Padang Hoki MDP tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sekali gus menjadi punca utama ia rosak selepas hanya tujuh bulan dibuka.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan padang hoki didakwa mencecah kos RM1.5 juta itu rosak dan hanya sempat digunakan selama tujuh bulan sebelum ditutup pada Oktober 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 6:40 PM