GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 17,526 kes atau 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 17,786 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya hanya 1.5 peratus kes berada dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen serta kritikal.

"Berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19, ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes, sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes baharu itu yang tertinggi setakat ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara meningkat kepada 1,113,272 kes dengan 189,609 kes aktif.

Beliau berkata, seramai 1,062 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 534 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, terdapat 165 kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 9,024 kes.

"Sebanyak 52 kes kematian dilaporkan di Selangor, 30 kes di Johor, 23 kes di Negeri Sembilan, 18 kes di Kedah, masing-masing sembilan kes di Sabah dan Kuala Lumpur.

"Tujuh kes di Pulau Pinang, empat kes di Melaka, masing-masing tiga kes di Perak, Terengganu, dan Sarawak, dua kes di Pahang serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis," katanya.

Tambah beliau, negara turut merekodkan 11,718 kes sembuh hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 914,639 kes atau 82.2 peratus daripada keseluruhan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 7:24 PM