Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan hari ini, apabila merekodkan 11,985 kes berbanding 12,366 kes semalam, namun kadar kematian tertinggi dicatatkan iaitu 199 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu di negara ini sebanyak 951,884 kes dan 137,587 kes aktif.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu itu, hanya 288 kes atau 2.4 peratus kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 5,850 kes atau 48.9 peratus adalah pesakit kategori satu iaitu tiada gejala dan 5,847 kes kategori dua yang bergejala ringan.

"Manakala sebanyak 178 kes adalah pesakit kategori tiga yang mengalami radang paru-paru, kategori empat iaitu radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen ( 45 kes) dan kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan (65 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhannya, hanya 2.4 peratus kes yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori tiga hingga lima dan 97.6 peratus kes berada pada kategori satu dan dua, iaitu pada mula didiagnosa.

"Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan bagi kes kategori satu dan dua yang berisiko rendah dan mempunyai kediaman yang sesuai untuk di kuarantin atau isolasi di rumah.

"Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital manakala bagi kes kategori tiga hingga lima akan dimasukkan ke PKRC, wad hospital, dan juga Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital.

"Melihat situasi jumlah kes harian yang kekal tinggi, sememangnya katil di hospital terutamanya ICU adalah penuh dengan pesakit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada laporan yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan CPRC Perkhidmatan Hospital, kumpulan umur lebih muda iaitu 40-an dan 50-an dilihat lebih banyak memenuhi ICU berbanding warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

"Situasi ini membuktikan vaksin membantu mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan golongan rentan dan warga emas.

"Oleh itu, KKM terus menyeru warga Malaysia terutamanya daripada kumpulan umur 18 hingga 59 tahun untuk mendaftar, mengikut temujanji yang ditetapkan, dan hadir mendapatkan vaksin Covid-19," katanya.

Katanya, seramai 927 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 459 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berkaitan 199 kes kematian yang dilaporkan hari ini, 84 kematian dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (57), Melaka (16), Kedah (12) dan tujuh di Negeri Sembilan.

"Masing-masing enam kes di Johor dan Pahang, tiga di Terengganu, dua kes di Pulau Pinang, Perak, dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 ialah sebanyak 7,440 kes.

Tambah beliau, negara turut merekodkan 7,902 kes sembuh hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 806,857 kes atau 84.8 peratus daripada keseluruhan kes.

"Selangor masih lagi merekodkan kes tertinggi iaitu 5,550 kes diikuti Kuala Lumpur 1,174 kes dan Negeri Sembilan (745 kes),

"Selain itu, Johor mencatatkan 644 kes, Kedah (800 kes), Sabah (474 kes), Pulau Pinang (362 kes), Sarawak (261 kes), Melaka (453 kes), Perak (274 kes), Pahang (603 kes), Terengganu (171 kes), Kelantan (386 kes).

"Perlis yang sebelum ini tiada kes Covid-19 pula merekodkan dua kes hari ini," katanya.

FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 4:03 PM