Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa serta kehidupan rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersifat menyeluruh bertujuan menggembleng kerjasama seluruh anggota masyarakat dan kerajaan dalam mengatur strategi peralihan keluar daripada krisis berkembar kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar daripada krisis Covid-19 secara berfasa, membabitkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur-ansur.

"Kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan.

"Dengan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar, kita jangkakan kebanyakan negeri dapat beralih ke fasa keempat seawal bulan Oktober nanti," katanya.

Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA
Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA

Muhyiddin berkata, kesinambungan PPN dan langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022.

Katanya, RMK-12 dijangka akan dibentangkan pada 20 September, manakala Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti.

"Bagi memastikan PPN berjalan seperti dirancang dan dipantau, kerajaan juga sudah menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan penyertaan wakil sektor swasta, pakar industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga menjemput tiga wakil pembangkang untuk menganggotai MPN masing-masing seorang dari parti Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang untuk berkongsi pandangan dan nasihat dalam pelbagai aspek pelan pemulihan," katanya.

Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dapat pada Oktober tahun ini.

Tambahnya, kerajaan sudah mencapai kapasiti kadar suntikan sebanyak lebih 500,000 dos sehari.

"Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:29 PM