GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis mengeluarkan sebanyak 1,382 kompaun terhadap individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dengan nilai keseluruhan RM3.6 juta dalam tempoh kurang tiga bulan sejak 1 Jun lalu hingga 27 Ogos.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kesalahan keluar rumah melebihi had waktu mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 383 kompaun.

Beliau berkata, tidak mematuhi arahan penjarakan fizikal pula mencatatkan sebanyak 279 kompaun.

"Tidak memakai pelitup muka pula sebanyak 173 kompaun manakala menaiki kenderaan melebihi kapasiti pula sebanyak 136 kompaun.

"Bagi kesalahan gagal mendaftar Mysejahtera pula sebanyak 129 kompaun manakala 79 kompaun lagi dikeluarkan kerana kesalahan melakukan aktiviti di tempat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran, sebanyak 39 kompaun dikeluarkan.

"Merentas daerah tanpa permit pula sebanyak 17 kompaun manakala individu mengunjungi premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran pula sebanyak 22 kompaun," katanya.

Selain itu, Ahsmon berkata, polis turut mengeluarkan sebanyak 58 kompaun kepada individu kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 1:57 PM