Anggota bomba cuba memecahkan jeriji dan (gambar kanan) mangsa yang berjaya diselamatkan di Pelangi Damansara di sini, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba cuba memecahkan jeriji dan (gambar kanan) mangsa yang berjaya diselamatkan di Pelangi Damansara di sini, hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada terjun dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Pelangi Damansara di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.42 tengah hari dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

Menurutnya, seramai dua pegawai dan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

"Sampai di lokasi didapati wanita berusia 37 tahun berada di bingkai tingkap bilik di tingkat 14 pangsapuri terbabit, manakala pintu rumah dalam keadaan berkunci.

"Tilam udara kemudian diletakkan di bawah pangsapuri itu sebelum kerja menyelamat dijalankan dengan memasang tali menyelamat di tingkat 16.

"Anggota juga memecahkan pintu jeriji sebelum menyelamatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh dikatakan mangsa berkenaan mengalami masalah mental.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 9:26 PM