Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Wanita warga emas ditemui maut di dapur rumahnya di tingkat tujuh Pangsapuri Putra Damai, Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Difahamkan, mangsa dikenali Norkiah Samat, 63, menetap bersendirian di pangsapuri itu sebelum ditemui mati oleh jirannya selepas terhidu bau busuk dari rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu akibat sakit tua.

"Mayat dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, anggota bomba dan penyelamat Putrajaya terpaksa memecahkan mangga rumah mangsa berikutan rumah dalam keadaan berkunci.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:53 PM