TAN Sri Idrus Harun. FOTO Bernama
TAN Sri Idrus Harun. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan meluluskan geran RM7 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tahun ini untuk peguam mewakili mereka yang memerlukan dalam kes-kes jenayah.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata, ini adalah gambaran komitmen berterusan dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf khidmat bantuan guaman bagi memastikan akses yang sama rata kepada keadilan buat mereka yang memerlukan penyelesaian undang-undang.

"Mengenai kerjasama teguh antara Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Peguam dan golongan peguam lain melalui YBGK, sebagai Pengerusi YBGK saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa selama ini, jumlah perkhidmatan oleh YBGK melonjak daripada 91,544 pada 2013 kepada 215,990 pada 2020.

"Perkembangan ini menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan YBGK daripada kira-kira RM2 juta pada 2013 kepada RM9.1 juta pada 2020. Oleh sebab itu, kerajaan menaikkan geran yang diberikan kepada YBGK untuk menampung perbelanjaan itu.

"Jumlah yang diterima oleh YBGK sejak penubuhannya ialah RM58,089,200," katanya ketika berucap melancarkan Tahun Perundangan 2022 di sini, tadi.

Sementara itu, Idrus berkata dua tahun lepas ini menyaksikan tiga komponen dalam pentadbiran keadilan - Badan Kehakiman, AGC dan Badan Peguam - bekerjasama untuk mengatasi cabaran yang tidak diduga disebabkan pandemik COVID-19.

Beliau berkata tiga komponen dalam pentadbiran keadilan itu sememangnya menyuarakan aspirasi, hasrat dan visi yang sama untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan integriti profesion undang-undang sambil menyokong kebiasaan baharu.

"Saya tidak mahu melihat kemerosotan keyakinan orang ramai terhadap mana-mana tiga komponen ini kerana orang ramai melihat kita sebagai saling berkaitan dan tidak berbeza.

"Justeru, Badan Kehakiman, AGC dan Badan Peguam mesti bersatu dengan satu visi dan satu matlamat, serta berganding bahu untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif ke arah mencapai keadilan dalam masa yang mencabar ini," katanya.

Idrus berkata di samping tugas undang-undang berkaitan COVID-19, mereka (AGC) memastikan jentera undang-undang berfungsi dalam persekitaran operasi yang agak berbeza.

"Kami tidak pernah meninggalkan kerja teras kami. Ia sama sekali bukan satu pencapaian mudah. Pada ketika ini, izinkan saya memetik Sir Francis Bacon, Peguam Negara England pada abad ke-17 yang menyifatkan tugas saya sebagai "the painfullest task in the realm". Pepatah ini ada benarnya, terutama pada waktu sukar ini.

"Saya amat rendah diri dan terharu menyaksikan pegawai-pegawai saya yang bersusah payah menghadapi situasi mencabar dan memastikan kerja diteruskan dengan cara yang inovatif.

"Mereka cepat menyesuaikan diri. Perbicaraan jarak jauh, rayuan, mesyuarat malah, persidangan dan rundingan antarabangsa dijalankan melalui pelbagai platform dalam talian," katanya.

Pada majlis yang sama, Presiden Badan Peguam Malaysia AG Kalidas dalam ucapannya berkata badan itu juga terbabit dengan pihak berkuasa berhubung akses berterusan kepada perkhidmatan guaman semasa tempoh sekatan pergerakan pada pertengahan 2021.

Beliau berkata Badan Peguam itu membuat representasi tegas bahawa peguam dibenarkan memberikan perkhidmatan mereka dan dapat mewakili anak guam mereka dengan berkesan.

"Memandangkan sistem keadilan jenayah terus berfungsi, begitu juga dengan peguam yang turut boleh berbuat demikian. Tambahan pula, dalam kes peguam YBGK, mereka dipanggil untuk mewakili tertuduh di mahkamah.

"Tanpa peguam YBGK, mereka mungkin tidak diwakili peguam kerana tidak mempunyai cara lain lagi untuk mendapatkan representasi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:34 PM