OPERASI harian, aktiviti pelaburan dan perkhidmatan disediakan TH kepada pendeposit tetap berjalan seperti biasa. FOTO Arkib NSTP
OPERASI harian, aktiviti pelaburan dan perkhidmatan disediakan TH kepada pendeposit tetap berjalan seperti biasa. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberi kerjasama sepenuhnya berdasarkan lunas perundangan terhadap proses Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Isu Pengurusan dan Operasi Tabung Haji serta memastikan perkhidmatan dan operasi harian berjalan lancar seperti biasa.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam kenyataan, hari ini, berkata hasil dapatan dan pandangan daripada ahli RCI akan dapat membantu menambah baik aspek tadbir urus dan pengurusan TH pada masa depan.

"Operasi harian, aktiviti pelaburan dan perkhidmatan disediakan TH kepada pendeposit tetap berjalan seperti biasa.

"TH yakin, hasil dapatan dan pandangan daripada ahli RCI akan dapat membantu menambah baik aspek tadbir urus dan pengurusan TH pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dalam kenyataan sama, berkata proses RCI itu akan menguatkan lagi TH sebagai suatu institusi kewangan Islam negara dan antarabangsa.

Kenyataan itu memaklumkan, sokongan dan kepercayaan masyarakat amat penting untuk TH meneruskan mandatnya sebagai institusi kewangan menyediakan kemudahan bagi umat Islam negara menyimpan wang untuk mengerjakan ibadat haji.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan agar RCI ditubuhkan bagi menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi TH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, baginda turut memperkenankan pelantikan enam ahli RCI itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, sebagai Pengerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:43 PM