GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan menjelaskan, mana-mana individu yang terbukti diberikan suntikan vaksin 'picagari kosong' akan menerima suntikan dos baharu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya akan memanggil individu berkenaan untuk menerima suntikan semula.

"Dipanggil suntik semula," katanya, ringkas ketika ditanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di laman media sosial kerana didakwa membabitkan picagari kosong.

Antara kes dilaporkan termasuk kejadian pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, yang mana PPV itu dikhaskan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka sahaja.

Vaksinasi di PPV itu dilaksanakan oleh petugas Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) kem berkenaan.

Terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan picagari kosong iaitu PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), yang didakwa berlaku pada Sabtu lalu, menyebabkan orang awam terbabit membuat laporan polis.

Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pula, dakwaan mengenai suntikan palsu ini dibuat pada Ahad dan laporan polis dibuat penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) itu.

Sebelum ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilapor memandang serius dakwaan berkenaan, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM bagi menjalankan siasatan terhadap kejadian.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 1:58 PM