Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menasihatkan penerima vaksin Covid-19 yang mengesyaki menerima suntikan kosong tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran bagi membolehkan kertas inkuiri dibuka untuk menyiasat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima vaksin Covid-19.

Menurutnya, sekiranya penerima vaksin mengesyaki menerima suntikan vaksin kosong, mereka boleh membuat laporan polis di balai polis berhampiran dan polis akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat aduan itu.

"Bagi kejadian berlakunya penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, orang ramai boleh membuat aduan kepada pihak polis dan siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

"Sehingga kini, pihak polis masih belum lagi mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau cuba memasarkan vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Jalil berkata, bagi penerima vaksin yang berasa gelisah dan diperdayakan dengan tidak disuntik dengan vaksin, mereka boleh membuat ujian 'covid neutralizing antibody test' atau ujian keberadaan antibodi dalam badan di makmal perubatan yang berlesen sebulan selepas menerima suntikan dos kedua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 9:14 PM