Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Suasana di majlis ibadah korban di Kelantan, hari ini, agak lengang berbanding sebelum penularan Covid-19 dan individu yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tinjauan di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot dan beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu mendapati beberapa agensi terbabit melakukan pemantauan di kawasan penyembelihan untuk ibadah korban bagi memastikan SOP dipatuhi.

Semua yang hadir memakai pelitup muka dan hanya mereka yang menjalankan ibadah korban sahaja hadir di tempat penyembelihan dan suasana kekalutannya tidak seperti sebelum ini.

Imam Muda Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, Mohd Faiz Mohd Zainudin berkata, memahami keadaan semasa penularan pandemik Covid-19, semua pihak perlu akur dengan SOP ditetapkan ketika menjalani ibadah korban bagi mengelak risiko penularan wabak berkenaan.

AHLI kariah bertungkus lumus untuk menumbangkan lembu yang akan dikorbankan mengikut pelaksanaan ibadah korban di Perkarangan Masjid Sultan Muhammad II, Telipot. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHLI kariah bertungkus lumus untuk menumbangkan lembu yang akan dikorbankan mengikut pelaksanaan ibadah korban di Perkarangan Masjid Sultan Muhammad II, Telipot. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Apa yang dilakukan ini dianggap satu pengorbanan dan patuh kepada perintah kerajaan iaitu akur dengan SOP dan tidak ada solat sunat Aidiladha yang dilakukan secara berjemaah.

"Walaupun tiada program mengimarahkan masjid dapat dilangsungkan, saya yakin rakyat menerima keadaan ini kerana ia adalah satu pengorbanan dalam usaha kita untuk menangani masalah wabak Covid-19 yang semakin teruk ketika ini.

"Pada masa sama, ibadah korban yang dilakukan perlu mengikut garis panduan dikeluarkan MAIK dan perlu dipatuhi setiap masjid iaitu setiap hari hanya lima ekor lembu sahaja dibenarkan untuk ibadah korban bagi mengelakkan kesesakan.

"Selain itu, individu yang menjalani ibadah korban hanya perlu mewakilkan sahaja kepada pihak yang bertanggujawab atau wakil masjid. Mereka hanya datang untuk mengambil daging korban yang sudah siap," katanya kepada pemberita ketika meninjau pelaksanaan ibadah korban di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 3:13 PM