Maiamalina Mohamed Amin dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini lebih 4.5 juta dos suntikan vaksin Covid-19 sudah berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurutnya, ia membabitkan 3.2 juta menerima dos pertama dan 1.4 juta lengkap menerima dua dos vaksin.

"Pada permulaan kadar vaksinasi adalah sekitar 5,000 sehingga 8,000 dos sehari dan meningkat ke 50,000 sehingga 80,000 pada Mei lalu.

"Kadar vaksinasi mencecah 197,963 dos semalam dan saya yakin usaha itu akan terus dipertingkatkan sehingga lebih 300,000 dos sehari dapat diberikan selepas ini," katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, hampir kesemua petugas barisan hadapan (frontliner) sudah menerima suntikan vaksin, malah lebih 50 peratus daripada golongan berusia 60 tahun ke atas menerima dos pertama.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Katanya, kerajaan akan terus mengutamakan golongan rentan lain dan seterusnya mereka berusia 18 tahun ke atas.

"Insya-Allah selepas ini lebih ramai rakyat akan mendapat janji temu suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama apabila lebih banyak bekalan vaksin diterima mulai bulan ini," katanya.

Justeru, beliau meminta individu yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segera berbuat demikian di aplikasi MySejahtera.

Tambah beliau, setakat ini seramai 13.8 juta sudah mendaftar dan kerajaan meletakkan sasaran 26 juta populasi di Malaysia diberi vaksin menjelang akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:12 PM