Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: "Walaupun pelbagai dakwaan negatif berkaitan vaksin di media sosial, ia tidak menjejaskan pendirian saya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 itu," kata Abdul Rahman Md Hassan.

Abdul Rahman, 69, dari Kampung Padang Air, di sini, antara penduduk yang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Katanya, dia mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera pada akhir Mei lalu dan dihubungi untuk menerima vaksin itu, kelmarin.

"Saya tidak menjangka akan mendapat suntikan vaksin dalam tempoh yang singkat dan memuji kelancaran program vaksinasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pada mulanya berasa bimbang juga untuk divaksin maklumlah saya sudah berusia selain tidak tahu kesan sampingan.

"Tetapi saya yakin dengan KKM dan kerajaan yang mengarahkan orang ramai mendapatkan vaksin itu. Jika ia bahaya kerajaan tidak akan mengeluarkan arahan berkenaan," katanya.

Katanya, isterinya, Che Noriah Yusof, 65, juga sudah mendapatkan suntikan vaksin terlebih dahulu daripadanya.

"Suntikan kedua saya pada 27 Jun ini dan berasa tidak sabar untuk menyempurnakan pengambilan dos kedua vaksin itu.

"Suntikan vaksin ini ialah usaha kita bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti virus Covid-19 dan saya menyeru masyarakat wajar untuk mendapatkannya segera," katanya.

Katanya, semua ahli keluarga termasuk 14 anaknya sudah mendaftar melalui MySejahtera dan sedang menunggu giliran masing-masing.

ABDUL Rahman Md Hassan menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak hari ini. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Rahman Md Hassan menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak hari ini. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 4:54 PM