PEGAWAI perubatan memberikan suntikan kepada ibu mengandung  di PPV  Mitec, Kuala Lumpur, semalam.
PEGAWAI perubatan memberikan suntikan kepada ibu mengandung di PPV Mitec, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) melaksanakan vaksinasi golongan ibu mengandung berdasarkan panduan dikemaskini Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat sambutan yang amat positif.

Malah, program terkandung dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu dilihat sebagai keprihatinan kerajaan dan sehingga kini lebih 10,000 ibu mengandung sudah diberi janji temu dengan nota Expectant Mother pada janji temu mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati golongan berkenaan bersyukur dan gembira kerana terpilih untuk program vaksinasi berkenaan.

Penerima vaksin Nurdiana Abdul Jalil, 28, berkata dirinya bersyukur mendapat suntikan vaksin Covid-19 lebih awal sebelum bersalin.

Suri rumah itu, antara penerima dos pertama vaksin Covid-19 kepada ibu hamil di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (Mitec) yang menjadi salah satu lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Nurdiana yang menetap di Cheras berkata, dia membuat kemas kini pendaftaran di MySejahtera untuk mendapatkan suntikan itu tiga minggu lalu dan mendapat panggilan pada Khamis lalu.

"Sejujurnya saya ada perasaan takut untuk mendapatkan vaksin kerana sedang hamil.

"Saya mencari maklumat mengenai vaksin untuk ibu hamil melalui pelbagai medium selain merujuk kepada doktor dan jururawat yang memeriksa kandungan saya.

"Mereka menasihati saya supaya mendaftar lebih awal sebelum bersalin untuk memberi perlindungan terhadap diri," katanya ketika ditemui pada Sesi Vaksinasi Ibu Mengandung di Mitec di sini, semalam.

Menurutnya, usia kandungannya yang kini mencecah 30 minggu membolehkan dia berpeluang menerima suntikan dan berasa lebih yakin.

Katanya, dia tidak menyangka mendapat peluang itu lebih awal kerana menjangkakan ia mengambil masa yang lama untuk tersenarai sebagai penerima.

Bagi Margi Shah, 35, yang hamil 30 minggu, dia gembira mendapat peluang menerima suntikan dos pertama vaksin semalam.

Warga India yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan menetap di Kuala Lumpur itu menyifatkan Pick dilaksanakan kerajaan ketika ini amat baik.

Nurdiana Abdul jalil, 28.
Nurdiana Abdul jalil, 28.

Katanya, dia mengemas kini maklumat ibu hamil di aplikasi MySejahtera sebaik kerajaan mengumumkan pemberian vaksin untuk golongan sepertinya, sebelum menerima panggilan menerima suntikan itu.

"Proses hari ini mengambil masa kira-kira 30 minit saja dan saya selesai divaksin. Saya berharap lebih ramai masyarakat mendapatkan vaksin untuk perlindungan diri," katanya.

Begitu juga bagi warga Taiwan, Claire Chiang, 42, yang memuji kepantasan program berkenaan dan tidak mahu melepaskan peluang sebaik dipanggil untuk menerima vaksin pada minggu lalu.

Claire yang mendirikan rumah tangga dengan warga tempatan berkata, dia membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu dan mengemas kini maklumat kehamilan pada awal Jun.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 109,607 pendaftaran golongan ibu hamil di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera sejak 1 Jun lalu.

Khairy berkata setakat ini, hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 11,663 dijangka bersalin (EDD) pada Ogos diberi keutamaan berdasarkan EDD mereka.

"Pada hujung minggu ini saja, sebanyak 6,000 ibu hamil dijadualkan janji temu di PPV Mitec ini dan PPV Sunway Pyramid Convention Centre untuk menerima vaksinasi mereka.

"Ini juga berlangsung di negeri lain dengan jumlah yang berbeza sepanjang minggu ini dan seterusnya," katanya pada sidang media di lokasi sama.

Ibu hamil dengan usia kandungan 14 hingga 33 minggu disaran mengambil vaksin Covid-19 keluaran Pfizer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 7:10 AM