Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Seorang wanita kerugian RM32,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis, Khamis lalu.

Dalam kejadian 12.28 tengah hari itu, mangsa berusia 38 tahun ketika berada di rumahnya di Taman Cempaka, di sini, menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai LHDN dan mangsa mempunyai cukai tertunggak atas syarikat miliknya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa menafikan dan panggilan itu kemudian dipindahkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah lalu dimaklumkan kad pengenalannya digunakan oleh seorang lelaki.

Menurutnya, sindiket terbabit memberitahu lelaki itu terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan dadah serta mangsa diminta untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan.

"Mangsa menyerahkan semua maklumat akaun banknya kepada suspek.

"Selepas talian dimatikan, dia mendapati terdapat pindahan wang dari akaunnya berjumlah RM32,000 tanpa kebenaran dan pengetahuannya," katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Farouk berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan mana-mana pihak mengaku sebagai Pegawai LHDN, Polis Diraja Malaysia mahupun jabatan kerajaan lain bagi mengelak dari ditipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 9:32 PM