Penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, Hassan Mohd Sharif, 56,  mencuci barangan rumahnya yang diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, Hassan Mohd Sharif, 56, mencuci barangan rumahnya yang diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menerima 117 laporan daripada penduduk di sini yang rumah mereka terjejas dengan banjir kilat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya juga mendirikan Balai Polis Bergerak di dalam kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memudahkan mangsa membuat laporan.

"Sepanjang kejadian banjir tiada kemalangan jiwa berlaku dan setakat ini anggaran kerosakan masih belum diterima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, polis menerima maklumat awal mengenai banjir di Kampung Pinggiran dan Lembah Jaya Utara pada 8.23 malam.

Mohamad Farouk berkata, sejurus maklumat itu, lima pegawai dan 40 anggota dikerah membantu mangsa dan mengawal keselamatan serta lalu lintas di kawasan yang terjejas.

"Kawasan yang dikenal pasti adalah Kampung Pinggiran 3, Kampung Lembah Jaya Utara membabitkan 206 unit rumah dan 1,019 mangsa.

"Mangsa banjir ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Lembah Jaya Utara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:41 PM