SUHAIZAN Kaiat. FOTO arkib NSTP
SUHAIZAN Kaiat. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Notis pemakluman pembukaan semula Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor akan diedarkan kepada kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ini, minggu hadapan.

Speaker Dun Johor Suhaizan Kaiat berkata, persiapan sedang dibuat dengan terperinci bagi pembukaan semula Dun Johor yang dijadualkan pada 12 Ogos depan termasuk persiapan akhir pengedaran notis kepada kesemua wakil rakyat negeri ini.

Katanya, pihaknya mempunyai tempoh 21 hari untuk menyerahkan notis berkenaan sebelum Persidangan Dun bermula.

"Notis pembukaan semula Dun Johor akan dihantar kepada semua wakil rakyat di negeri ini termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir mulai minggu depan.

"Persiapan sedang dibuat termasuk bagi pematuhan prosedur operasi standard mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seperti Persidangan Dun Johor ketika pembentangan Bajet Johor, Oktober tahun lalu, prosedur yang akan dilaksanakan termasuk saringan ujian Covid-19 kepada semua yang terbabit terutama wakil rakyat, petugas serta wakil media yang membuat liputan dan penjarakan kerusi selain pemasangan dinding penghadang jika diperlukan.s

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:32 PM