BANGUNAN Tabung Haji.
BANGUNAN Tabung Haji.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam menyiasat isu berbangkit mengenai institusi kewangan itu dari 2014 hingga 2020.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kerjasama diberikan berdasarkan lunas-lunas perundangan.

"Hasil siasatan dan pandangan daripada RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan serta aspek tadbir urus.

"Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan serta kepentingan orang ramai terjamin khususnya pendeposit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, TH sentiasa berusaha melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan pendeposit.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai TH.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan itu adalah hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Terdapat empat terma RCI dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020 tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan tubuh RCI siasat isu TH
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:10 PM