BANGUNAN Menara Tabung Haji.
BANGUNAN Menara Tabung Haji.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jemaah Menteri bersetuju melakukan penambahbaikan pengurusan operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) secara menyeluruh, termasuk membabitkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, cadangan model baharu operasi LTH berkenan akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan LTH.

Katanya, di samping itu, jemaah menteri juga bersetuju dengan penyenaraian LTH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti dapatan pengauditan perunding-perunding untuk tempoh 2014 hingga 2018, serta langkah-langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh LTH berdasarkan dapatan sehingga tahun 2020.

"Bagaimanapun, seperti diputuskan Jemaah Menteri semalam, skop suruhanjaya ini tidak akan merangkumi usaha penambahbaikan berterusan dan penstrukturan yang sedang dilaksanakan bagi memperkasakan tadbir urus LTH," katanya.

Menurutnya, aspek governans, integriti dan reputasi LTH sebagai institusi simpanan kewangan Islam adalah amat penting bagi memastikan kedudukan kewangan LTH lebih kukuh dan stabil, serta menjamin dan memelihara kepentingan pendeposit dan jemaah haji Malaysia.

Katanya, seperti yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:40 PM