Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Umat Islam perlu meninggalkan makanan yang diragui ataupun syubhah (perkara yang samar-samar) dan hanya mengambil makanan yang diyakini halal.

Mufti Kedah Datuk Syiekh Fadzil Awang berkata, Islam sudah menyediakan garis panduan yang sangat jelas apabila berhadapan dengan isu makanan yang statusnya diragui sama ada halal atau haram.

"Ia sesuai dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan Imam Tirmidzi yang bermaksud: 'Tinggalkanlah suatu yang diragui, ambil yang benar-benar diyakini'.

"Justeru, umat Islam mesti mengambil berat dan memandang serius terhadap isu ini kerana makanan akan menjadi darah daging.

"Sesorang yang membesar dengan dengan makanan haram sangat sukar dibentuk, doanya tidak mustajab dan di hari pembalasan tidak mendapat rahmat Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kartel daging haram yang panas ketika ini.

Fadzil berkata, pihaknya sangat kesal sekiranya benar berlakunya isu menukar daging haram kepada halal kerana ia aktiviti tidak bertamadun, tidak bermaruah dan berdosa di sisi agama.

Katanya, wang yang diperoleh menerusi aktiviti seperti itu adalah haram dan tidak boleh dijadikan sumber rezeki sebagai seorang Islam.

SYEIKH Fadhil Awang (dua kiri) menerima replika cek zakat daripada Pengerusi Ayam Bismi,Jaffri Ahmad (dua kanan) sambil disaksikan oleh Pengarah Eksekutif Ayam Bismi, Mazlina Makaruddin (kanan) dan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faisol Omar (kiri) pada majlis penyerahan zakat di Simpang Empat Kangkong. FOTO Amran Hamid
SYEIKH Fadhil Awang (dua kiri) menerima replika cek zakat daripada Pengerusi Ayam Bismi,Jaffri Ahmad (dua kanan) sambil disaksikan oleh Pengarah Eksekutif Ayam Bismi, Mazlina Makaruddin (kanan) dan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Syeikh Ahmad Faisol Omar (kiri) pada majlis penyerahan zakat di Simpang Empat Kangkong. FOTO Amran Hamid

"Di sini kita melihat pentingnya industri penternakan diusahakan oleh orang Islam sendiri. Semoga insiden ini memberi pengajaran dan iktibar kepada kita semua.

"Kita juga mengharapkan kerajaan dan kementerian berkaitan dapat memikirkan ke arah Malaysia sebagai negara penternak, pengeluar dan pengedar daging halal," katanya.

Sementara itu, Fadzil turut menasihati peniaga Islam di negara ini supaya merujuk senarai pembekal daging import yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengenal pasti syarikat yang membekalkan daging yang diyakini halal untuk kegunaan perniagaan mereka.

Katanya, pihaknya sedar ramai peniaga terutamanya pengusaha restoran Islam terjejas apabila kegiatan kartel daging import haram ini terbongkar.

Terdahulu, Fadzil menerima replika cek bayaran zakat berjumlah RM303,000 daripada Presiden Bismi Empire merangkap Pengasas Ayam Bismi Jaffri Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 6:05 PM