Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengemukakan tuntutan sebanyak 5.64 bilion dolar Amerika Syarikat (USD) (kira-kira RM23.6 bilion) daripada 44 rakan kongsi terdahulu dan semasa firma KPMG.

Malay Mail hari ini yang memetik laporan theedgemarkets.com, tuntutan itu dibuat pada Selasa lalu terhadap 44 rakan kongsi firma audit terbabit ketika menjadi juruaudit 1MDB, atas dakwaan pelanggaran kontrak dan kecuaian dalam audit serta perakuan penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan yang berakhir pada 2010, 2011 dan 2012.

Tuntutan itu dibuat oleh tujuh plaintif iaitu 1MDB, kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), empat anak syarikat 1MDB (1MDB Energy Holdings Ltd (1MEHL), 1MDB Energy Ltd (1MEL), 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) dan sebuah syarikat yang dahulunya, 1MDB Global Investment Company Ltd tetapi kini dikenali sebagai Global Diversified Investment Company Ltd).

Memetik penyataan tuntutan setebal 148 halaman yang difailkan di mahkamah, theedgemarkets.com melaporkan bahawa Ernst & Young adalah juruaudit awal 1MDB tetapi tidak dapat menyimpulkan auditnya kerana kekurangan bukti yang mencukupi mengenai nilai saksama dan pelaburan usahasama 1MDB, dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan agar firma audit terbabit digantikan dengan KPMG pada September 2010.

Laporan berita itu mengatakan bahawa KPMG kemudiannya memulakan audit pada 14 September 2010 dan mengeluarkan pendapat audit yang tidak memenuhi syarat pada 4 Oktober 2010.

Menurut laporan itu juga, pihak plaintif mendakwa bahawa berlaku penyalahgunaan 5.64 bilion USD (kira-kira RM23.6 bilion) dari anak syarikat 1MDB dan 1MDB untuk kepentingan Najib dan rakan sekutu dengan dana berjumlah 3.197 bilion USD (kira-kira RM13.39 bilion) dari jumlah keseluruhannya yang didakwa disalahgunakan ketika tahun kewangan berakhir pada 2010, 2011 dan 2012 ketika KPMG bertindak sebagai juruaudit 1MDB.

Tuntutan itu mendakwa bahawa KPMG tidak mengesan transaksi penipuan dan penyelewengan yang didakwa dilaksanakan oleh pengurusan 1MDB ketika itu.

Laporan itu menyebut bahawa firma audit terbabit sebaliknya didakwa mengeluarkan pendapat audit yang tidak memenuhi syarat mengenai penyata kewangan 1MDB bagi tempoh berkenaan.

Tuntutan berkenaan mendakwa bahawa penyata kewangan yang diaudit 1MDB selama tiga tahun itu tidak menggambarkan pandangan yang benar dan adil mengenai hal ehwal kewangan syarikat serta gambaran audit sebenar untuk mencegah transaksi pada 2013 dan 2014 yang boleh membuatkan lebih banyak wang disalahgunakan dari 1MDB milik Kementerian Kewangan itu.

Tuntutan itu juga menyatakan bahawa terdapat faedah sekurang-kurangnya 1.43 bilion USD (RM5.99 bilion) sudah terkumpul dari jumlah dituntut pada 6 Mei lalu.

KPMG dikeluarkan sebagai juruaudit 1MDB selepas menolak pendaftaran audit akaun 1MDB untuk tahun kewangan 2013 dan kemudiannya digantikan oleh firma audit Deloitte untuk tahun kewangan 2013 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 8:56 PM