BERNAMA

Alor Gajah: Pembinaan sebuah hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jasin bagi menyokong fasiliti kesihatan negeri terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, penangguhan itu dilakukan selepas ATM memutuskan menyalurkan aset mereka ke negeri yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi.

"Seperti sedia maklum, kita telah memohon kepada ATM melalui Kementerian Pertahanan bagi pembinaan hospital medan di Jasin memandangkan kebergantungan kita hanya kepada Hospital Melaka.

"Tetapi dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri semalam, saya difahamkan ATM sudah mengeluarkan aset-aset mereka ke negeri yang berjangkitan tinggi seperti Selangor," katanya kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Mujid Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata, pihaknya akan terus berusaha supaya hospital medan dapat diwujudkan di Melaka dan berharap ia dapat dipertimbangkan oleh kerajaan.

"Kita juga percaya Kementerian Pertahanan akan buat yang terbaik untuk menyediakan hospital medan di negeri ini memandangkan kadar katil unit rawatan rapi (ICU) sudah mencapai 100 peratus," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Hospital Melaka akan menerima 10 lagi katil ICU minggu hadapan.

"Begitu juga ventilator dan monitor yang sekarang masih berada di Singapura kerana peralatan ini sedang menunggu pelepasan kastam untuk dibawa masuk ke Melaka.

"Pada masa sama, kita juga ada memohon pihak berkaitan untuk bersiap sedia menyediakan katil tambahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 2:34 PM