Aafiyah Husna memerlukan sumbangan RM 50,000, pembedahan akan dilakukan di Sunway Medical Centre. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Aafiyah Husna memerlukan sumbangan RM 50,000, pembedahan akan dilakukan di Sunway Medical Centre. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itulah situasi dihadapi suri rumah, Nurul Huda Akma Arifin, 27, apabila bayinya, Nur Aafiyah Husna Muhamad Rozaidi yang berusia tujuh bulan disahkan menghidap penyakit jantung berlubang atau kecacatan septum ventrikel (VSD).

Sebagai ibu, Nurul Huda berharap dapat menamatkan penderitaan Nur Aafiyah, namun, suaminya Muhamad Rozaidi Ramli, 33, yang bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan hanya RM1,000 sebulan tidak cukup untuk menampung kos pembedahan segera anak ketiganya itu.

"Tiada sebarang komplikasi ketika Aafiyah dalam kandungan. Saya sedar dia tidak seperti bayi normal lain ketika usianya dua bulan.

"Aafiyah sering tercungap-cungap apabila menyusu, jadi saya terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ketika itulah saya tahu penyakitnya," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, Nur Aafiyah Husna kini dirawat di Sunway Medical Centre dan memerlukan kira-kira RM50,000 untuk pembedahan penutupan VSD di hospital itu.

Nurul Huda berkata, anak pertama dan keduanya yang masing-masing berusia tiga dan lima tahun tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

"Saya banyak menumpukan perhatian kepada Aafiyah selepas mengetahui penyakit dialaminya.

"Syukur, ibu saya turut membantu menguruskan kedua-dua anak saya yang lain dan berharap Aafiyah akan sihat seperti abang dan kakaknya," katanya.

Dia yang menetap di Besut, Terengganu berkata, gaji suaminya hanya cukup untuk menampung keperluan harian mereka sekeluarga.

Katanya, dia berharap ada pihak dapat meringankan beban keluarganya disebabkan pendapatan suaminya tidak menentu dengan bayaran gaji mengikut musim penanaman padi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit (Nur Aafiyah Husna).

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-24278678.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 3:44 PM