GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Sebanyak 58.3 peratus guru di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga kini.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 39.98 peratus guru di Selangor sudah disuntik bertujuan untuk mengawal penularan wabak itu yang membabitkan institusi pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, ada negeri yang mencatatkan kadar pemberian vaksin terendah di kalangan guru seperti Melaka dengan 19 peratus daripadanya sudah divaksin.

"Kita dapati ada beberapa negeri sudah melepasi 90 peratus (kadar pemberian vaksin). Misalnya, di Labuan apabila 94 peratus guru selesai divaksinasi.

"Ia disebabkan bilangan guru yang tidak ramai," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra (KiSTARP), di sini, tadi.

Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memberi keutamaan kepada guru yang mengajar kelas peperiksaan menerusi program vaksinasi sebagai persediaan awal pembukaan sekolah yang akan diumumkan oleh kerajaan.

"Contohnya hari ini, kita mendapati sebanyak 99 peratus guru di KiSTARP sudah menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemberian vaksin di daerah Sabak Bernam, beliau berkata, sebanyak 52 peratus guru sekolah rendah 33 peratus guru sekolah menengah sudah mendapat vaksin.

"Ia menjadikan keseluruhan guru di daerah ini yang telah disuntik vaksin sebanyak 45 peratus.

"Kita mahu menghampiri sasaran di peringkat nasional iaitu 50 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 5:03 PM