Belut yang dirampas. FOTO ihsan Maqis
Belut yang dirampas. FOTO ihsan Maqis
Norzamira Che Noh

Pelabuhan Klang: Cubaan sebuah syarikat industri makanan membawa masuk 1,349 kotak belut sejuk beku (frozen eel fish) dan 951 kotak ikan timah (frozen ribbon fish) gagal selepas dikesan pihak berkuasa di Pelabuhan Barat, dekat sini pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Zamri Hashim berkata, semua ikan sejuk beku yang diimport dari negara Iran dianggarkan bernilai RM146,486.87 ditahan sekitar jam 4 petang.

"Hasil pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguatkuasa Maqis mendapati, hasil laut seberat 27,955 kilogram yang dibawa masuk oleh syarikat tempatan itu gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah.

"Hasil laut sejuk beku ini dibawa masuk serta berada di pelabuhan sejak 18 Jun lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 9:15 PM