Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Golongan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas dijangka boleh menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu akan diputuskan dalam Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang diadakan pada minggu ini.

Menurutnya, sebelum ini mesyuarat sama meluluskan vaksin buatan Pfizer-BioNTech untuk kegunaan golongan berusia 12 tahun dan ke atas.

"Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bersama saya pada minggu ini akan memutuskan kaedah penggunaan vaksin Pfizer untuk golongan remaja dan bila boleh mulakan pemberian kepada golongan itu.

"Ia akan berdasarkan kepada nasihat dan syor yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Expert Working Group," katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut sama dalam sidang media itu ialah Dr Adham.

VAKSIN CoronaVac. FOTO Ghazali Kori.
VAKSIN CoronaVac. FOTO Ghazali Kori.

Selain itu, beliau berkata, dua vaksin Covid-19 iaitu keluaran CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) menerima kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Mengenai bekalan vaksin Covid-19, Khairy berkata, Malaysia akan menerima 444,600 dos vaksin Pfizer pada minggu ini, dan jumlah penghantaran bekalan itu dijangka lebih meningkat pada Julai ini.

"Bagi Coronavac pula sebanyak 3,687,880 dos sudah diterima dan sebanyak 760,880 dos akan diedarkan ke fasiliti mulai hari ini.

"Bagi AstraZeneca, sebanyak 828,000 dos sudah diterima sehingga kini," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menerima penghantaran baharu AstraZeneca (AZ) pada awal Julai ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 4:28 PM