TUNKU Ismail Sultan Ibrahim
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: "Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan," titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi kenyataan di Facebook (FB) 'HRH Crown Prince Of Johor', Tunku Ismail bertitah supaya kerajaan negeri mempercepatkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dalam keadaan kritikal.

"Sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukkan jumlah kes harian yang tinggi.

"Rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan dan saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.

"Di samping itu, masalah sosioekonomi juga tertimbul akibat situasi ini yang berpanjangan. Saya berpendapat bahawa prosedur operasi standard (SOP) patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih. Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan," titah Tunku Ismail.

Terdahulu, Tunku Ismail berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani.

Tunku Ismail bertitah, penggunaan 'rapid test kit' dan test kit peribadi perlu diperkenalkan secepat mungkin dan digunakan secara meluas khususnya sektor penting.

"Rakyat juga patut disaringkan secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.

"Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperolehi vaksin secara pembelian terus," titah Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 2:45 PM