Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Beberapa kawasan di sekitar ibu kota yang menjadi sasaran kumpulan baju hitam yang mengajak masyarakat berkumpul ditutup dan dikawal ketat polis.

Sehingga jam 11 pagi tadi, polis menutup semua laluan keluar dan masuk ke Dataran Merdeka, serta mengawasi kawasan bangunan dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut dan Jalan Raja Chulan, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sehingga jam 11 pagi tadi pihaknya masih belum mengesan sesuatu pergerakan mencurigakan yang berkaitan dengan aktiviti perhimpunan berkenaan.

"Sehubungan itu saya menasihatkan masyarakat di sekitar ibu negara dan orang ramai untuk tidak berkumpul seperti yang diarahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati berdegil dan melanggar arahan polis selain mengambil tindakan terhadap mereka yang keluar tanpa kebenaran semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga turut mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bergerak di beberapa lokasi masuk ke Kuala Lumpur khususnya menuju ke kawasan sasaran kumpulan berkenaan.

Kumpulan berbaju hitam ini mensasarkan lokasi seperti Istana Negara dan Istana Negeri di seluruh negara; ibu pejabat KWSP dan semua cawangan KWSP di seluruh negara; Dataran Merdeka dan Dataran Putra (Masjid Putrajaya) untuk mengajak orang ramai berhimpun.

Selain itu orang ramai juga diminta merakam video dan gambar mereka memakai baju hitam dan membunyikan hon semasa berkumpul bermula jam 2 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 12:07 PM