DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media sempena lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media sempena lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO Eizairi Shamsudin
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Siasatan kejadian helikopter Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pendaratan cemas di dalam Pangkalan TLDM masih diteruskan.

Siasatan untuk mengenalpasti punca kejadian jam 12 tengah hari semalam itu dilakukan Lembaga Siasatan yang ditubuhkan TLDM.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada yang cedera dalam kejadian itu.

"Mengenai kejadian helikopter itu, tidak ada yang cedera.

"Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik.

"Cuma dari segi punca nahas dan sebagainya sedang di dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan sesi ramah mesra dengan pegawai dan staf perubatan kontrak di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Pegawai dan staf perubatan itu akan dilantik secara kontrak selama setahun bagi meningkatkan kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membendung wabak Covid-19.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan pembelian enam helikopter anti kapal selam untuk TLDM, katanya, perkara itu sedang dalam proses.

Dalam satu sidang media pada 17 Oktober 2018, Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad dilaporkan berkata pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan bajet untuk pembelian enam helikopter anti kapal selam.

"Kita boleh lihat di Laut China Selatan dan rantau lain, banyak negara sudah dilengkapi dengan kapal selam dan kita memerlukan helikopter yang berkeupayaan mengesan kapal selam.

"Justeru, kita berharap kerajaan dapat menyediakan bajet bagi pembelian pesawat berkenaan," katanya memetik laporan itu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:21 PM