GAMBAR hiasan. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
GAMBAR hiasan. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Zon merah Covid-19 di Sabah meningkat semula kepada 12 daerah, hari ini berikutan peningkatan kes positif dilaporkan di Ranau dan Kudat yang sebelum ini berada dalam zon jingga.

Hari ini, Ranau mencatat 39 kes baharu berbanding hanya lima kes semalam, menjadikannya antara tiga daerah merekodkan kes tertinggi selepas Kota Kinabalu (40 kes) dan Penampang (45 kes), manakala Kudat mencatat lima kes baharu berbanding hanya satu kes, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan kes di Ranau berpunca daripada Kluster Paginatan yang dilaporkan hari ini membabitkan 35 kes baharu manakala 47 kumulatif kes.

"Daerah Kudat dan Ranau bertukar daripada zon jingga ke zon merah, hari ini manakala daerah Pitas berubah daripada zon jingga ke zon kuning dan Keningau pula bertukar daripada zon merah ke zon jingga," katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 di Sabah, malam ini.

Berikutan perkembangan itu, zon jingga di Sabah kini kembali kepada dua daerah iaitu Keningau dan Kalabakan, berbanding empat daerah semalam, manakala 12 daerah sebagai zon kuning diikuti satu zon hijau di Nabawan.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, secara keseluruhan sebanyak 252 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan kumulatif sebanyak 34,977 kes.

Beliau berkata, bagi kes sembuh, seramai 394 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan kumulatif sembuh setakat ini seramai 32,597 orang.

"Seramai 1,707 pesakit masih menerima rawatan iaitu 605 orang di hospital dan 1,102 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), dengan 63 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 14 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Daripada 252 kes positif dicatatkan hari ini, sebanyak 146 kes atau 58 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti saringan kluster sedia ada sebanyak 55 kes (21.8 peratus), 30 kes (11.9 peratus) saringan bergejala dan dua kes (0.8 peratus) saringan komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 9:09 PM