GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah mencatat pertambahan dua zon jingga Covid-19 semalam, menjadikan empat daerah berada dalam zon itu berbanding dua daerah sebelum ini.

Daerah terbabit masing-masing dari zon merah iaitu Kudat yang turun ke zon jingga, manakala Ranau naik ke zon jingga daripada zon kuning selepas mencatat sembilan kes baharu positif Covid-19, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata dua lagi daerah yang berada dalam zon jingga semalam ialah Pitas dan Kalabakan.

"Daerah Kudat berubah dari zon merah ke zon jingga, manakala daerah Ranau berubah dari zon kuning ke zon jingga," katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Perkembangan itu menyaksikan daerah dalam zon merah dan kuning masing-masing berkurang kepada 11 daerah, manakala zon hijau kekal di satu daerah iaitu Nabawan.

Kota Kinabalu yang mencatat kes tertinggi dengan 63 kes semalam adalah antara yang kekal dalam zon merah selain Penampang, Tuaran, Tawau, Putatan, Lahad Datu, Sandakan, Kota Belud, Keningau, Papar dan Semporna.

Daerah yang masih dalam zon kuning pula ialah Beaufort, Kinabatangan, Tenom, Telupid, Beluran, Tongod, Kunak Kuala Penyu, Sipitang, Tambunan dan Kota Marudu.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat sebanyak 196 kes dengan dua kes kematian masing-masing di Tawau dan Sandakan, menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di Sabah setakat ini sebanyak 34,478 kes.

Sementara itu, seramai 266 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital semalam, menjadikan kumulatif sembuh setakat ini seramai 31,887 orang.

Baki seramai 1,925 pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 609 orang di hospital dan 1,316 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 60 pesakit dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 14 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Masidi berkata, satu kluster baharu turut dilaporkan semalam di Kota Kinabalu iaitu Kluster Estate Maju dengan sebanyak 18 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 28 kes.

"Kluster ini dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan pekerjaan di sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan," katanya.

Beliau berkata, daripada 196 kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, sebanyak 86 kes atau 43.9 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, manakala saringan kluster baharu dan kluster sedia ada sebanyak 49 kes atau 25 peratus.

"Selebihnya ialah saringan bergejala sebanyak 46 kes atau 23.4 peratus, manakala baki 15 kes atau 7.7 lagi adalah daripada kategori lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:03 AM