DATUK Seri Aminuddin Harun (kanan) ketika meninjau PPV Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DATUK Seri Aminuddin Harun (kanan) ketika meninjau PPV Mega di Dewan Tuanku Canselor USIM. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan kerajaan pusat menimbang penggunaan strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut situasi Covid-19 di sesebuah negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sudah memberikan pandangan tersendiri mengenai cadangan pakar kesihatan supaya kerajaan menimbang penggunaan strategi PPN mengikut negeri.

Katanya, pandangan itu diberikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Covid-19 petang kelmarin.

"Kita (kerajaan negeri) sudah bincang dan memberikan pandangannya sendiri mengenai PPN mengikut negeri kepada jawatankuasa teknikal yang bermesyuarat.

"Kita nyatakan pendirian mengenai perkara itu termasuk permasalahan yang dihadapi dan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai. Kita lihat terdapat pro dan kontra dalam hal ini kerana setiap negeri ada pandangan mereka sendiri.

"Namun begitu, keputusan mengenainya dijangka akan dapat kita ketahui dalam masa terdekat," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega pertama di Dewan Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Kelmarin, beberapa pakar kesihatan tempatan mencadangkan kepada kerajaan supaya menimbang penggunaan strategi PPN mengikut keadaan di setiap negeri, sekali gus meningkatkan persaingan sihat untuk berlumba-lumba melepasi setiap fasa.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata kerajaan boleh meletakkan nilai ambang berlainan untuk setiap negeri, berdasarkan kes harian di negeri berkenaan dan jumlah penduduk yang sudah divaksin.

Dr Yahya memberi pandangan bahawa kaedah itu dilihat lebih adil kerana setiap negeri mencatatkan kes harian Covid-19 yang berbeza dan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:17 PM