Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: Vaksinasi Covid-19 bagi ibu hamil boleh diperoleh melalui klinik kesihatan ibu dan anak tanpa perlu temu janji melalui aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata arahan serta garis panduan daripada pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) sudah sedia diperoleh bagi proses vaksinasi ibu hamil termasuk penetapan mengenai usia kehamilan antara tempoh 14 hingga 33 minggu.

Menurutnya, golongan terbabit, setakat ini, tidak dimasukkan sebagai golongan yang layak menerima pelalian secara tanpa temu janji (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Panggilan vaksin wanita hamil juga tanpa melalui temujanji di aplikasi MySejahtera dan ia sebenarnya lebih cepat berbanding 'walk-in'.

"Kita sambut baik cadangan bagi memasukkan golongan wanita hamil sebagai penerima vaksin secara 'walk in' namun selepas urusan vaksinasi warga emas dan golongan komorbid diselesaikan," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke PPV Dewan Merdeka Lenggong, di sini, hari ini.

Tambah beliau setakat ini di daerah Hulu Perak, kira-kira 400 daripada lebih 450 wanita hamil sudah mendapat vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:42 PM